5‌ ‌Tumbuhan‌ ‌Yang‌ ‌Mudah‌ ‌Dijaga‌ ‌di‌ ‌dalam‌ ‌Rumah

Want to improve your Malay reading comprehension? Try reading this article on house plants that are easy to be maintained, and leave a comment or question for us to answer.

5‌ ‌Tumbuhan‌ ‌Yang‌ ‌Mudah‌ ‌Dijaga‌ ‌di‌ ‌dalam‌ ‌Rumah

Tumbuhan-tumbuhan Mudah Dijaga di Rumah

Tumbuhan-tumbuhan ini bukan sahaja mudah dijaga dan boleh membersihkan udara di dalam rumah, malah turut memberikan sentuhan estetik kepada suasana rumah anda!


Pokok Sirih Gading/Duit-duit (Epipremnum aureum)

Pokok Sirih Gading/Duit-duit (Foto oleh Dan Gold di Unsplash)
Pokok Sirih Gading/Duit-duit (Foto oleh Dan Gold di Unsplash)

Termasuk dalam keluarga tumbuhan keladi, pokok sirih gading atau duit-duit mempunyai daun berwarna hijau yang sangat cantik. Sifat tumbuhan berdaun lebat ini yang mudah hidup menjadikannya pilihan tumbuhan yang digemari dalam kalangan anak muda. Mana tidaknya, jika diletakkan di dalam bekas kaca berisi air sekali pun, tumbuhan ini boleh hidup lama, malah dapat mengeluarkan pucuk-pucuk daun kecil yang comel. Anda boleh letakkan tumbuhan ini di mana-mana ruang seperti meja kerja, meja sisi di ruang tamu dan juga bilik air kerana tumbuhan ini tidak memerlukan cahaya matahari terus.

💡
New vocabulary ☆ "tumbuhan berdaun" means leafy plants

Pokok Philodendron

Pokok Philodendron (Foto oleh Kelsey Brown di Unsplash)
Pokok Philodendron (Foto oleh Kelsey Brown di Unsplash)

Mungkin hampir sama dengan pokok sirih gading tetapi pokok philodendron mempunyai daun berbentuk hati yang lebih hijau secara menyeluruh. Bentuk daun tumbuhan ini seiring dengan maksud namanya. Dalam bahasa Greek, philo bermaksud “cinta” atau “kasih sayang”, manakala dendron bermaksud “tumbuhan” atau “pokok”. Wah, romantiknya!

Seperti pokok sirih gading, pokok philodendron ialah sejenis tumbuhan yang tidak cerewet. Dengan pencahayaan, philodendron mudah hidup di mana-mana sahaja kerana tidak memerlukan cahaya matahari secara terus. Selain tanah, philodendron juga boleh hidup di dalam air. Tetapi, jangan lupa untuk menukar air di dalam bekas berisi tumbuhan tersebut supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes pula!

💡
New vocabulary ☆ "berbentuk hati" means heart-shaped

Pokok Labah-Labah (Foto oleh Lucian Alexe di Unsplash)
Pokok Labah-Labah (Foto oleh Lucian Alexe di Unsplash)

Pokok Labah-Labah (Chlorophytum comosum)

Daun tumbuhan ini panjang dan tirus seperti kaki labah-labah, oleh itu digelar sedemikian. Dengan daun berwarna hijau kekuningan disertai jalur putih yang unik, pokok labah-labah juga semakin pantas mendapat tempat di banyak kediaman sebagai hiasan dan juga disebabkan oleh manfaatnya sebagai pembersih udara semula jadi.

Penjagaannya juga cukup mudah. Anda hanya perlu memastikan tanahnya sentiasa lembap, tidak terlalu basah mahupun terlalu kering.

💡
New vocabulary ☆ "sentiasa lembap" means always moist

Pokok Monstera Adansonii

Pokok Monstera Adansonii (Foto oleh Huy Phan di Unsplash)
Pokok Monstera Adansonii (Foto oleh Huy Phan di Unsplash)

Jangan takut melihat daunnya yang pelik, lubang-lubang itu bukan disebabkan oleh ulat atau belalang. Tumbuhan ini termasuk dalam keluarga monstera. Daunnya sangat unik kerana menyerupai lubang-lubang keju Swiss. Oleh itu, ramai juga yang memanggil tumbuhan ini sebagai tumbuhan “Swiss cheese”.

Seperti tumbuhan yang telah disebut di atas, tumbuhan monstera adansonii ini mudah dijaga kerana anda hanya perlu memastikan tanahnya lembap iaitu tidak terlalu basah mahupun terlalu kering. Monstera adansonii memerlukan cahaya matahari tidak terus, maka tumbuhan ini sangat sesuai diletakkan di rak buku atau di atas meja sisi di ruang tamu agar suasana tenang di dalam kediaman.

💡
New vocabulary ☆ "tidak terus" means indirect

Pokok Lidah Jin (Foto oleh Paul Hanaoka di Unsplash)
Pokok Lidah Jin (Foto oleh Paul Hanaoka di Unsplash)

Pokok Lidah Jin (Sansevieria trifasciata)

Jika pokok labah-labah daunnya merimbun ke bawah, pokok lidah jin pula mempunyai daun panjang dan tirus yang tumbuh secara menegak ke atas. Pokok lidah jin mampu menyerap racun seperti karbon monoksida, nikotin, benzin dan sebagainya. Walaupun tidak semudah pokok-pokok yang telah disebut di atas, anda hanya perlu lebih berhati-hati agar air disiram terus ke tanah dan pastikan air tidak terkena pada daunnya.

💡
New vocabulary ☆ "merimbun" means growing lush (of plants)

Dikarang oleh: Cikgu Hanan Zulkipli