Petua Asas Bekerja Dari Rumah (BDR)

Want to improve your Malay reading comprehension? Try reading this article about tips to work from home, and spot how the new vocabularies are used in-text.

Petua Asas Bekerja Dari Rumah (BDR)

Gelombang musuh dunia, COVID-19, semakin deras menyerang dan menyebabkan kita lemas dalam ketakutan, kegelisahan, kerisauan dan tekanan. Perkara ini memberikan impak sangat besar kepada rutin kehidupan seseorang terutamanya dari segi pekerjaan. Ramai antara kita harus bekerja keras tatkala penularan COVID-19 yang berleluasa. Namun begitu, pihak kerajaan telah melaksanakan inisiatif dengan membenarkan pekerja sektor awam dan sektor swasta untuk mula “Bekerja Dari Rumah” (BDR) bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Konsep “Bekerja Dari Rumah” sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PBKB) boleh menjadi sesuatu yang baharu bagi kebanyakan pekerja yang sebelum ini biasanya bekerja di pejabat. Bagaimanapun, ini harus dijadikan kebiasaan atau norma baharu. Meski kelihatan mudah, sebenarnya terdapat banyak perancangan yang harus diaplikasikan bagi memastikan pekerja lebih selesa dan pengurusan rutin baharu ini berjalan lancar.

💡
New vocabulary ☆ "meski" means even though

1. Tingkatkan kefahaman pekerja dengan menyediakan peraturan semasa BDR

Situasi 1

Bos: (dalam kumpulan Whatsapp)
Helo, semua ada di mana? Kenapa tiada siapa jawab e-mel saya?
Pekerja: (tiada siapa membalas perbualan Whatsapp)

Sentiasa peka dengan telefon bimbit anda semasa waktu bekerja untuk memudahkan komunikasi dengan ketua dan rakan sekerja. Hal ini memastikan kerja dapat diselesaikan tepat pada waktunya.

Situasi 2

Bos: Sila siapkan laporan dan e-melkan kepada saya pada 12.00 tengahari.
Pekerja: (pada 12.00 tengahari)
Alamak, maaf bos. Saya baru bangun tidur.

Sentiasa bangun awal, sebolehnya sebelum waktu bekerja di pejabat supaya kerja anda tidak tertangguh dan anda dapat bekerja secara proaktif. Elakkan daripada tidur dan bangun lewat.

Bos: Maaf, Cik Puspa, saya perlukan awak di pejabat sekarang. Hari ini sahaja.
Pekerja A: Alamak, bos saya sedang buat kuih.

Sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan. Anda mungkin diperlukan ke pejabat atas urusan penting yang harus diselesaikan segera.

💡
New vocabulary ☆ "elakkan" means avoid

2. Gunakan kaedah yang berkesan untuk mesyuarat dalam talian

Situasi 4

(Mesyuarat dalam talian)
Pekerja A: Okey, jom kita mulakan mesyuarat hari ini. Eh, bos di mana?
Pekerja B: Alamak, saya terlupa beritahu bos tentang kod log masuk!

Setiap ahli mesyuarat perlu dimaklumkan tentang kaedah dan butiran yang akan digunakan untuk sesuatu mesyuarat. Butiran log masuk perlu dikongsikan dan dijelaskan secara terperinci kepada semua ahli mesyuarat yang akan terlibat. Pemilihan aplikasi juga penting bagi melancarkan kerja dan memastikan data mesyuarat selamat daripada akses orang luar. Aplikasi yang mesra pengguna juga penting untuk keterlibatan mesyuarat yang mantap.

Situasi 5

(Mesyuarat dalam talian)
Pekerja A: (sedang membentang)
Eh, mengapakah tiba-tiba Puan Bibi hilang?
Pekerja B: Mungkin komputer ribanya kehabisan bateri.
Situasi 6

(Mesyuarat dalam talian)
Bos: Encik Khairi, sila ambil maklum tentang…
Pekerja A: Maaf, apa? Saya kurang dengar.

Sebelum mesyuarat bermula, pastikan peralatan penting dalam keadaan baik. Anda haruslah mengecas penuh bateri, memastikan sambungan Wi-Fi adalah baik, memeriksa fon telinga atau pembesar suara berfungsi, supaya agenda mesyuarat dapat disampaikan dengan jelas dan lancar.

💡
New vocabulary ☆ "mesra pengguna" means user-friendly

3. Mengenakan pakaian yang sesuai untuk mesyuarat dalam talian

Situasi 7

Bos: Halim, mengapakah awak hanya memakai singlet untuk mesyuarat?
Pekerja: Maaf, bos. Saya tukar sekarang.

Jagalah keterampilan diri yang baik walaupun hanya bermesyuarat dalam talian. Hal ini penting kerana terdapat nilai pada penampilan diri iaitu nilai seperti kepimpinan, produktiviti, dan budaya serta profesionalisme. Penting untuk kita mengamalkan etika pemakaian kerana keterampilan diri yang baik boleh mempengaruhi semangat bekerja.

Lelaki mahupun wanita disarankan untuk mengenakan baju yang bersesuaian dengan tata pakaian yang ditetapkan oleh pentadbiran tempat kerja anda ketika bermesyuarat dalam talian untuk menampilkan kekemasan dan kesediaan. Elakkan memakai pakaian rumah atau yang kurang sopan jika anda bakal bermesyuarat dalam talian.

💡
New vocabulary ☆ "etika pemakaian" means dress code

4. Sediakan ruang kerja yang selesa dan bersih

Situasi 8

(Monolog semasa bekerja dari rumah)
Pekerja A: Di mana pula dokumen aku tadi? Berseleraknya meja aku. Air pula tertumpah! Alahai, kenapa kau harus tumpah atas dokumen penting?!

Pastikan ruang kerja di rumah sentiasa kemas dan teratur. Sediakan tempat penyimpanan fail penting di tempat khas yang lebih selamat dan mudah diingati.

Situasi 9

(Monolog semasa bekerja dari rumah)
Pekerja A: Malasnya buat kerja, ah tertekannya!

Anda boleh melakukan pelbagai perkara untuk mengurangkan tekanan dan memastikan suasana kerja tenang di rumah. Antaranya, anda boleh menghiasi ruang kerja dengan pokok atau tumbuhan yang mudah dijaga. Selain itu, anda juga boleh meletakkan haruman aromaterapi di ruang kerja sebagai cara mengurangkan tekanan dan menambah baik mood dan emosi agar lebih positif semasa bekerja.

💡
New vocabulary ☆ "selain itu" means besides that

Sememangnya BDR memberikan cabaran yang tersendiri dan unik kepada setiap orang. Bagaimanapun, kita harus kekal tenang untuk mengekalkan produktiviti. Selamat mencuba!

Apakah petua anda untuk bekerja dari rumah dengan cemerlang? Kongsikan dengan kami pada ruangan komen di bawah.

💡
New vocabulary ☆ "kekal" means to continue/to be permanent

Dikarang oleh: Azzurein Raz (Penulis bebas)