5 Cecair Pencuci Rumah Buatan Sendiri
Want to improve your Malay reading comprehension? Try reading this article on 5 homemade cleaning solutions, and spot how the new vocabularies are used in-text.
Semua orang masih disarankan untuk mengurangkan aktiviti di luar pada musim perintah larangan pergerakan walaupun kelonggaran sudah dibenarkan. Apa kata kita mengisi masa lapang dengan mempelajari cara menyediakan pencuci rumah buatan sendiri? Pencuci buatan sendiri bukan sahaja dapat membersihkan rumah dengan berkesan, malah dapat mengurangkan kesan penggunaan plastik dan pencemaran alam sekitar.
1. Pencuci Serba Guna Berbau Harum
Anda perlukan:
・1 cawan cuka putih
・1 cawan air
・Kulit lemon
・Beberapa tangkai rosemary
Campurkan semua bahan-bahan di atas ke dalam botol sembur dan kocakkan. Biarkan semua bahan-bahan tersebut sebati di dalam botol selama seminggu. Selepas seminggu, anda boleh terus menggunakan pencuci buatan sendiri ini untuk membersihkan pelbagai kotoran pada dinding, tong sampah, singki dan banyak lagi. Di samping bau yang harum, kulit lemon dan tangkai rosemary dapat meningkatkan kuasa cucian. Tetapi, anda dinasihatkan untuk tidak menggunakan pencuci ini pada permukaan granit atau batu kerana kandungan asid boleh menghakis permukaan tersebut.
2. Pencuci dan Penyahbau Dapur
Anda perlukan:
・4 sudu besar serbuk penaik (soda penaik)
・250ml air suam
Campuran serbuk soda penaik dan air suam akan memudahkan kerja anda semasa membersihkan pelbagai kelengkapan dapur seperti bahagian dalam peti sejuk, singki dan permukaan besi. Pencuci ini bukan sahaja dapat membersihkan permukaan, malah dapat menyahbau dan menggilapkan permukaan agar tidak kelihatan kusam. Anda hanya perlu mengelap sesuatu permukaan dengan campuran ini dan mengelap sekali lagi dengan kain basah yang bersih.
3. Pencuci Loyang Buatan Sendiri
Anda perlukan:
・Cuka putih atau jus lemon
・Garam halus
Untuk membersihkan objek yang diperbuat daripada loyang seperti tombol pintu, pemegang kabinet dan sebagainya, anda boleh basahkan kain dengan cuka putih atau jus lemon, taburkan garam pada permukaan tersebut dan terus lap sehingga permukaan itu sudah tidak kelihatan kusam. Kemudian, anda boleh terus lap semula permukaan tersebut dengan kain lembap yang bersih.
4. Pencuci Permukaan Marmar/Batu Granit
Anda perlukan:
・2 titik cecair pencuci pinggan sederhana kuat
・2 cawan air suam
Permukaan marmar/batu boleh terhakis atau kelihatan kusam jika anda tersilap menggunakan pencuci yang mengandungi bahan kimia yang tidak sesuai. Jadi, jika anda mahu membersihkan permukaan marmar/batu seperti meja atau permukaan kerja kabinet dapur, cara paling selamat adalah untuk menggunakan campuran dua bahan di atas. Lapkan permukaan dengan kain yang telah dibasahkan dengan campuran dua bahan di atas, setelah selesai langkah tersebut, anda perlu terus mengelap permukaan tersebut dengan air.
5. Pencuci Karpet
Anda perlukan:
・Serbuk soda penaik
・Cuka putih
・Air suam
Alamak! Karpet anda terdapat kesan kotoran? Jangan risau, selongkar pantri rumah dan sediakan bahan-bahan di atas. Taburkan serbuk soda penaik di kawasan permukaan karpet yang terkena kotoran kemudian semburkan campuran serbuk soda penaik dan cuka putih ke kawasan tersebut dan biarkan seketika sekurang-kurangnya selama 3 jam. Jangan runsing jika cecair itu mula berbuih, cecair itu sedang membantu anda membersihkan kotoran itu. Selepas itu, anda boleh menyental kawasan tersebut secara lembut menggunakan berus nilon. Apabila kering, akan terdapat sisa seperti kapur di kawasan tersebut, anda hanya perlu vakum sehingga bersih.
Dikarang oleh: Cikgu Hanan Zulkipli