Amalan Mesra Alam yang Mudah
Want to improve your Malay reading comprehension? Try reading this article on green habits and leave a comment or question for us to answer.
Jika anda sayangi bumi, anda WAJIB lakukan amalan-amalan ini!
Tutup suis lampu dan kipas
Pernahkah anda rasa marah apabila rakan atau ahli keluarga anda terlupa menutup suis lampu atau kipas di bilik atau ruang yang kosong? Sebenarnya, perasaan marah anda itu mempunyai asas yang kukuh kerana menutup suis lampu, kipas atau alatan lain seperti pendingin hawa apabila tidak digunakan merupakan antara langkah paling mudah untuk menjimatkan tenaga elektrik. Tetapi, untuk menjimatkan tenaga elektrik dengan lebih cekap, jadikan peraturan 15 minit sebagai panduan. Jika anda tidak akan menggunakan sesuatu ruang lebih daripada 15 minit, anda disarankan untuk menutup suis lampu, kipas dan lain-lain. Jika anda hanya mahu meninggalkan ruang tersebut kurang daripada 15 minit, anda boleh membiarkan suis lampu, kipas dan lain-lain terbuka sementara (jangan lupa pula untuk kembali ke ruang tersebut!). Amalan ini bukan sahaja mesra alam, tetapi juga mesra dompet! Anda pasti dapat melihat perbezaan pada bil elektrik anda selepas mengamalkan langkah ini.
Manfaatkan cahaya matahari
Perkara pertama yang harus anda lakukan selepas bangun pagi ialah membuka langsir di jendela seluas-luasnya agar cahaya matahari masuk ke dalam rumah anda. Dengan adanya cahaya matahari, anda tidak perlu membuka lampu semasa waktu pagi dan siang. Langkah ini bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga dan wang, tetapi sedikit sebanyak juga dapat memberikan semangat yang diperlukan untuk memulakan hari anda. Mengikut kajian saintifik, cahaya matahari pada waktu pagi meningkatkan pengeluaran vitamin D dalam tubuh, sekaligus menambah baik sistem imun anda. Selain itu, cahaya matahari pagi juga dikaitkan dengan peningkatan hormon serotonin yang boleh memberikan perasaan gembira! Untuk maklumat lanjut tentang faedah cahaya matahari pagi, anda boleh merujuk kepada artikel yang dipautkan di bawah. Pastikan esok pagi anda terus membuka tirai rumah apabila bangun pagi, ya?
Klik di sini untuk maklumat lanjut tentang manfaat cahaya matahari!
Tutup air semasa gosok gigi, basuh muka
Perlukah anda menutup paip air semasa menggosok gigi atau membasuh muka di singki? YA! Perkara ini mungkin nampak kecil, tetapi sebenarnya membawa impak yang besar kepada sumber air. Bayangkan setiap orang di dunia ini ambil mudah dan tidak menutup air semasa gosok gigi dan membasuh muka di singki, pasti tidak terkira jumlah pembaziran air yang akan berlaku. Jika anda sentiasa terlupa untuk menutup paip air, anda boleh isikan air di dalam sebuah gelas dan gunakan air tersebut untuk berkumur sepanjang anda menggosok gigi atau membasuh muka. Isikan semula air dalam gelas itu jika tidak cukup, sekurang-kurangnya dengan cara ini anda benar-benar menggunakan air mengikut keperluan. Kita harus sentiasa ingat bahawa kekurangan air boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi, sebagai manusia yang bertanggungjawab, kita haruslah bersyukur dan sebolehnya berjimat semasa menggunakan sumber yang tidak ternilai ini.
Katakan TIDAK kepada plastik
Ramai yang sedar betapa besar kesan penggunaan plastik sekali guna kepada alam sekitar. Sememangnya sukar untuk menyingkirkan terus plastik kerana penggunaannya telah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan manusia zaman moden ini. Hampir setiap barang yang dijual di kedai akan dibungkus atau mengandungi plastik. Tetapi jika kita berganding bahu dalam usaha ke arah sifar penggunaan plastik, kesan pencemaran alam yang sedang berlaku pasti dapat diperlahankan. Antara amalan yang anda boleh lakukan ialah membawa beg kitar semula atau bekas sendiri semasa membeli barang di mana-mana kedai. Anda boleh terus menyediakan beg kitar semula yang dilipat menjadi kecil untuk dibawa ke mana-mana dalam beg tangan anda. Jika sesuatu kedai itu tidak bertanya sama ada anda mahukan beg plastik atau tidak, anda harus mengambil inisiatif sendiri untuk menyatakan bahawa anda tidak perlukan beg plastik. Orang di sekeliling anda pasti akan turut serta dalam usaha menyifarkan penggunaan beg plastik apabila melihat kesungguhan anda.
Gantikan tisu dengan kain
Tisu sememangnya sudah menjadi satu keperluan bagi setiap orang. Tetapi tahukah anda bahawa penggunaan tisu antara penyumbang terbesar dalam pencemaran alam kerana sifatnya yang hanya boleh digunakan sekali. Jadi, impak pencemaran alam sekitar pasti dapat dikurangkan jika setiap orang mencuba sehabis baik untuk tidak menggunakan tisu dalam kehidupan seharian. Apakah alternatif untuk tisu? Jawapannya mudah, gunalah kain lap sebagai ganti. Jika ada permukaan yang harus dilap, gunakan kain lap. Jika muka anda berpeluh, gunakan sapu tangan atau tuala muka. Anda juga sudah tidak perlu membeli tisu apabila terbiasa dengan amalan ini. Orang tua kita kebanyakannya mampu menjalani kehidupan seharian tanpa tisu pada zaman dahulu. Jika mereka boleh, pasti kita pun boleh!
Baiki, jangan buang
Ledakan produk dan barangan yang mudah didapati telah menjadikan kita semua terlalu mudah untuk membuang dan menggantikan barang. Hal ini termasuklah barangan seperti pakaian, aksesori, perabot dan sebagainya. Apabila kita mudah untuk menggantikan sesuatu barang dengan yang baharu, secara tidak langsung kita menyumbang kepada permintaan pembuatan barangan yang boleh membawa kepada pencemaran alam sekitar. Kilang di seluruh dunia akan berlumba untuk mengeluarkan barangan yang tidak diperlukan demi memenuhi permintaan pengguna yang tinggi, tanpa menghiraukan kesan buruk terhadap alam sekitar. Sifat tamak ini menyumbang kepada satu kitaran negatif yang hanya boleh dihentikan jika pengguna berganding bahu untuk mengurangkan permintaan barangan. Kita boleh mengurangkan permintaan barangan dengan menanam sifat menghormati dan menyayangi sesuatu barang. Jika pakaian anda koyak, jahitlah bahagian yang koyak itu. Jika sofa di rumah semakin buruk, carilah jalan untuk membaikinya. Di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar, kita dapat memupuk sifat bersyukur dalam keluarga kita dengan amalan ini.
Dikarang oleh: Cikgu Hanan Zulkipli