5 Buah Tempatan Berkhasiat, Boleh Dinikmati Sepanjang Tahun

Want to improve your Malay reading comprehension? Try reading this article on 5 local fruits, and spot how the new vocabularies are used in-text.

5 Buah Tempatan Berkhasiat, Boleh Dinikmati Sepanjang Tahun

5 Buah Tempatan Berkhasiat yang Boleh Dinikmati Sepanjang Tahun

A watermelon wearing sunglasses with a dialogue bubble saying "Banyak kenduri saya perlu hadir."

Tembikai

Sebut sahaja buah tembikai, pasti kita semua sudah terbayang kelazatan buah berwarna merah ini. Buah tembikai adalah antarabuah tempatan yang paling mudah didapati sepanjang tahun dan di mana-mana sahaja di negara kita, baik di pasar tani, gerai dan juga pasar raya. Buah ini bukan sahaja menjadi hidangan ringkas sebagai pencuci mulut pada waktu makan malam bersama-sama keluarga, malah hampir menjadi sesuatu kewajipan untuk dihidang di jamuan, majlis keraian dan kenduri di di Malaysia.

Dengan cuaca di negara kita yang biasanya panas, kandungan air yang banyak dalam tembikai membuatkan buah ini sangat sesuai dimakan untuk memastikan anda kekal terhidrat. Selain itu, buah tembikai juga sebenarnya baik untuk kesihatan jantung kerana mengandungi likopena, iaitu sejenis antioksidan. Selain likopena, buah tembikai juga mengandungi khasiat lain seperti beta karotena, vitamin C, vitamin A dan serat. Semua khasiat ini menjadikan buah tembikai sangat baik untuk rambut dan kulit.

A slice of papaya with a laughing face saying "Saya tidak pernah sembelit!"

Betik

Selain tembikai, buah betik juga antara buah tempatan yang amat terkenal di Malaysia dan mudah didapati di hampir setiap kedai atau gerai yang menjual buah-buahan. Sudah tentu ramai daripada kita biasa melihat potongan betik dijual di R&R di seluruh negara kerana sifatnya yang mudah dipotong secara memanjang untuk dijadikan snek.

Betik sangat terkenal dengan kandungan air dan serat yang boleh membantu sistem pencernaan dan penghadaman. Betik juga amat bermanfaat untuk kesihatan mata kerana kaya dengan Vitamin A. Satu lagi khasiat yang dimiliki betik ialah potasium yang menyokong kesihatan buah pinggang. Selain itu, walaupun betik terkenal dengan rasanya yang manis, buah ini boleh menjadi pilihan yang sesuai untuk mereka yang menghidap diabetes atau mereka yang berhasrat untuk mengurangkan risiko diabetes.

A slice of guava with cool sunglasses and humming while saying "Saya Juara Vitamin C!"

Jambu Batu

Jika sebut jambu batu pula, pasti ramai yang terfikir akan rojak. Jambu batu sangat rangup walaupun tidaklah semanis betik atau tembikai. Meskipun memiliki rasa yang lebih tawar berbanding buah tempatan lain, buah ini sebenarnya sangat sarat dengan khasiat. Tahukah anda, jambu batu mengandungi lebih banyak vitamin C berbanding buah oren. Malah, sebiji jambu batu mengandungi dua kali ganda jumlah pengambilan vitamin C harian yang disyorkan.

Dengan kandungan vitamin C yang banyak, jambu batu dapat meningkatkan keimunan tubuh anda. Di samping itu, jambu batu juga memiliki serat, zat besi, kalsium, vitamin A dan potasium. Semua khasiat yang disebut itu sangat bermanfaat untuk kesihatan mata, pencernaan dan penghadaman.

Nanas

A slice of pineapple smiling while saying "Saya memang serba boleh!"

Nanas adalah antara buah tempatan yang sangat fleksibel. Nanas boleh dimakan begitu sahaja, dibuat jus asli, dimasukkan ke dalam rojak dan juga boleh dijadikan bahan untuk beberapa hidangan tradisional seperti acar, pajeri dan kari. Terdapat banyak khasiat dalam buah nanas. Antara khasiat utama nanas ialah kandungan antioksida yang tinggi. Antioksida dapat mengurangkan risiko keradangan kronik, penyakit jantung dan diabetes.

Satu fakta menarik tentang nanas, buah ini mengandungi enzim pencernaan yang banyak. Dengan adanya enzim ini, buah nanas sangat sesuai dimasukkan dalam perapan daging untuk melembutkan daging. Selain itu, nanas juga mengandungi bromelain yang boleh membantu untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami oleh pesakit artritis. Kandungan bromelain ini juga dapat membantu tisu dalam badan untuk sembuh dengan lebih pantas selepas sesuatu pembedahan atau senaman berat.

Buah Nona

Half of a Nona Fruit saying "Sayalah Cik Nona, si awet muda."

Tidak sepopular buah lain yang telah disebut di atas, tetapi buah nona tidak harus dilupakan dalam senarai ini kerana rasanya yang sangat enak dan kandungan khasiatnya yang pelbagai. Buah nona adalah antara beberapa buah yang mengandungi nisbah potasium dan sodium yang sangat seimbang. Keseimbangan dua zat tersebut dalam buah nona ini dapat mengawal turun naik tekanan darah dalam tubuh kita. Kandungan magnesium buah nona yang tinggi pula dapat merehatkan otot jantung, mencegah strok dan serangan jantung.

Selain itu, buah nona juga mengandungi vitamin B kompleks yang sangat bermanfaat untuk kesihatan otak. Vitamin B kompleks dapat mengawal paras bahan kimia dalam neuron anda yang mempengaruhi pelbagai emosi termasuk tekanan dan kemurungan. Akhir sekali, buah nona juga terbukti dalam merangsang dan meningkatkan penghasilan kolagen dalam tubuh.

Ayuh makan buah tempatan! Anda pula suka makan buah apa? Ceritalah di bawah!


Dikarang dan dilukis oleh: Cikgu Hanan Zulkipli